Wednesday, July 22, 2015

RAMADHAN DAN SYAWAL YANG DILALUI

Teks : Norafidah Ahmad

# Entri 11


Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Sebulan kita berada di Madrasah Ramadhan. Semoga Allah swt merahmati kita selama sebulan keberadaan kita di bulan Ramadhan. Hanya Allah yang Maha mengetahui dan hanya Dia jua lah yang menilai tahap pencapaian kita. KepadaNya jua kita berharap dan menyerahkan segala harapan untuk Dia menerima segala amal kita. 


Ketibaan Syawal diraikan. Berbagai cara pula kita menyambut ketibaan Syawal. Menyambut ketibaan Syawal bukan bermakna kita bergembira bahawa Ramadhan telah meninggalkan kita. Syawal disambut dengan harapan Allah mengizinkan kita bertemu lagi Ramadhan akan datang. 


Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketibaan Syawal sangat dinanti oleh ibu dan bapa kerana Syawal selalunya menyaksikan kepulangan anak-anak mereka ke kampung halaman. Syawal dapat melepaskan rasa rindu mereka kepada anak-anak dan cucu-cucu. Ziarah menziarahi maaf memaafi menjadi amalan setiap kali tibanya Syawal.


Bagi keluarga kecil kami, Syawal disambut hanya untuk meraikan anak-anak yang telah berjaya berpuasa sebulan. Mereka patut dirai. Sambutan yang sangat ala kadar. Syawal tidak seceria seperti adanya emak dan ayah, opah dan atuk yang akan menyambut kepulangan kami berhari raya di kampung.


Mengenang kembali berhari raya pada akhir tahun 70-an dahulu, ia sangat mengujakan. Perjalanan pulang ke kampung opah sangat dinantikan. Perjalanan dari Southern Perak Plantation (SPP), Jalan Sabak Bernam ke Tanjung Kepah Lekir, memerlukan kami menukar bas dua kali iaitu dari SPP ke Simpang Empat, Hutan Melintang ke Jeti Bagan Datoh. Kami akan menaiki bot penumpang dari Jeti Bagan Datoh  ke Jeti Kayan. Dari Jeti Kayan untuk ke Kampung Kayan, kami akan menaiki motosikal dengan bayaran RM0.50 ke RM1.00. Dari situ kami akan menaiki bas ke Batu 8, Lekir. Kampung Tanjung Kepah agak jauh dari simpang jalan besar, kami akan berjalan kaki lebih kurang 10 KM untuk sampai rumah opah. Sekiranya ada yang mengenali kami adalah cucu Opah, akan ada yang akan membawa kami menaiki motosikal atau basikal ke rumah opah.


Kami akan berjalan kaki dengan tangan membawa beg-beg pakaian masing-masing dan emak pula dengan mangkuk tingkatnya yang berisi kuih-muih raya untuk opah. Perjalanan yang sangat mengembirakan, walaupun perjalan itu akan mengambil masa seharian dan amat memenatkan. 


Pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Tiada kata yang dapat diluahkan bagaimana gembiranya kami dapat balik kampung ketika itu. 


Thursday, July 2, 2015

PETUA AWET MUDA

Teks : Norafidah Binti Ahmad
Foto:  Google Imej

#Entri 10



Petua yang menarik ini di kongsikan oleh Datuk Dr Maznah Hamid di dalam bukunya "Transformasi Diri, Menuju Kejayaan, Kebahagiaan Dan Kekayaan"


Untuk Lidah:
Berkata benar dan jujur


Untuk Suara Merdu:
Membaca Al-Quran dan berdoa


Untuk Kecerahan Mata:
Air mata kasih-kasihan


Untuk Tangan:
Bersedekah, derma dan beramal


Untuk Tubuh:
Sentiasa tegak, lurus, tidak bongkok dan bengkok


Untuk Segar Sihat:
Puasa, sembahyang dan membanting tulang


Untuk Ketenangan Jiwa:
Bersihkan hati dari sifat dengki khianat


Ketenteraman Hidup:
Bebaskan diri dari hutang piutang, hidup sederhana



Untuk diamali semoga kekal kelihatan awet muda.




SYUKURI RAMADHAN

Teks : Norafidah Binti Ahmad
Foto  : Google Image

#Entri 9



Anak kecil berpuasa. Bermacam kerenah yang dipamerkan untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Melatih anak kecil berpuasa bukan mudah. Untuk meransang mereka berpuasa berbagai habuan akan dijanjikan untuk mereka yang berpuasa penuh sebulan. 



Teringat semasa di zaman kanak-kanak dahulu, cikgu menjanjikan habuan RM2.00 untuk sesiapa yang berpuasa penuh sebulan di bulan Ramadhan.  Begitu bersemangat untuk berpuasa penuh sebulan ketika itu. Sangat gembira dengan habuan RM2.00. Pertengahan tahun 70-an, RM2.00 sangat besar nilainya pada anak-anak ketika itu. Berbanding anak zaman sekarang yang mengharapkan habuan yang berbagai-bagai termasuk gajet-gajet sekiranya mereka dapat berpuasa penuh sebulan. 



Kini giliran anak ku. Bersyukur kerana Ramadhan kali ini kami sekeluarga berpuasa termasuk anak yang berumur lapan tahun. Ini adalah kehendaknya sendiri, berazam untuk berpuasa penuh sebulan berbanding tahun-tahun sebelumnya tiada hari yang dia berpuasa penuh. Sudah pasti ada yang dijanjikan. Bukan mudah, ada kala dia hampir kecundang. Mengajarnya untuk berdoa semoga Allah memberi dia kekuatan untuk menjalani ibadah ini.


Peranan ibubapa pula adalah untuk mendidik anak-anak ini untuk lebih memahami bahawa puasa adalah satu ibadah yang dilakukan hanya kerana Allah swt.



Semoga Allah swt terus membimbing kami sekeluarga untuk menjadi hamba Nya yang taat dan taqwa