Wednesday, July 22, 2015

RAMADHAN DAN SYAWAL YANG DILALUI

Teks : Norafidah Ahmad

# Entri 11


Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Sebulan kita berada di Madrasah Ramadhan. Semoga Allah swt merahmati kita selama sebulan keberadaan kita di bulan Ramadhan. Hanya Allah yang Maha mengetahui dan hanya Dia jua lah yang menilai tahap pencapaian kita. KepadaNya jua kita berharap dan menyerahkan segala harapan untuk Dia menerima segala amal kita. 


Ketibaan Syawal diraikan. Berbagai cara pula kita menyambut ketibaan Syawal. Menyambut ketibaan Syawal bukan bermakna kita bergembira bahawa Ramadhan telah meninggalkan kita. Syawal disambut dengan harapan Allah mengizinkan kita bertemu lagi Ramadhan akan datang. 


Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketibaan Syawal sangat dinanti oleh ibu dan bapa kerana Syawal selalunya menyaksikan kepulangan anak-anak mereka ke kampung halaman. Syawal dapat melepaskan rasa rindu mereka kepada anak-anak dan cucu-cucu. Ziarah menziarahi maaf memaafi menjadi amalan setiap kali tibanya Syawal.


Bagi keluarga kecil kami, Syawal disambut hanya untuk meraikan anak-anak yang telah berjaya berpuasa sebulan. Mereka patut dirai. Sambutan yang sangat ala kadar. Syawal tidak seceria seperti adanya emak dan ayah, opah dan atuk yang akan menyambut kepulangan kami berhari raya di kampung.


Mengenang kembali berhari raya pada akhir tahun 70-an dahulu, ia sangat mengujakan. Perjalanan pulang ke kampung opah sangat dinantikan. Perjalanan dari Southern Perak Plantation (SPP), Jalan Sabak Bernam ke Tanjung Kepah Lekir, memerlukan kami menukar bas dua kali iaitu dari SPP ke Simpang Empat, Hutan Melintang ke Jeti Bagan Datoh. Kami akan menaiki bot penumpang dari Jeti Bagan Datoh  ke Jeti Kayan. Dari Jeti Kayan untuk ke Kampung Kayan, kami akan menaiki motosikal dengan bayaran RM0.50 ke RM1.00. Dari situ kami akan menaiki bas ke Batu 8, Lekir. Kampung Tanjung Kepah agak jauh dari simpang jalan besar, kami akan berjalan kaki lebih kurang 10 KM untuk sampai rumah opah. Sekiranya ada yang mengenali kami adalah cucu Opah, akan ada yang akan membawa kami menaiki motosikal atau basikal ke rumah opah.


Kami akan berjalan kaki dengan tangan membawa beg-beg pakaian masing-masing dan emak pula dengan mangkuk tingkatnya yang berisi kuih-muih raya untuk opah. Perjalanan yang sangat mengembirakan, walaupun perjalan itu akan mengambil masa seharian dan amat memenatkan. 


Pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Tiada kata yang dapat diluahkan bagaimana gembiranya kami dapat balik kampung ketika itu. 


No comments:

Post a Comment