Tuesday, June 23, 2015

KITA

Teks : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 8



Sudahkah kita kenal diri kita? 

Sudah kah kita temui jati diri kita?

Sudah kah kita memahami diri kita?

Sudah kah kita ketahui apakah tujuan kehidupan kita?

Sudah kah kita ketahui apakah tugas kita?


Kenyataannya tidak mudah untuk kita mengenal diri kita sendiri sebenarnya. Adakah selama ini kita menjalani kehidupan ini tanpa kita mengetahui siapa kita sebenarnya? Adakah selama ini kita menjalani hidup ini tanpa kita memahami apakah tugas dan tujuan kita hidup di dunia ini?


Menjawab soalan-soalan di atas dapat membantu kita mengenali diri kita. Memahami dan mengenali diri kita akan menemukan kita dengan jati diri kita. Memahami diri kita akan menjadikan kita lebih bersyukur.


Kita mungkin pernah dengar "barang siapa yang mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya"


Ia sangat penting untuk diperhalusi. Ilmu yang sangat dalam yang sepatutnya dicari. Kenali diri., hakikat diri. Kenali Ilahi.


Semoga ada manfaatnya.


Monday, June 22, 2015

BAJET UNTUK MEMILIKI RUMAH PERTAMA

Teks : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 7


Sebelum memulakan langkah untuk membeli rumah, pastikan kedudukan kewangan anda sekarang dan sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang. 


Sudah pasti anda mengetahui kemampuan anda di mana. Buat anggaran pendapatan dan perbelanjaan sekarang dan tiga tahun akan datang termasuk sekiranya anda merancang menambah bilangan isi rumah. 


Anggaran anda mestilah mengambil kira perbelanjaan yang berkaitan dengan rumah.  Anda juga perlu mengambilkira kos-kos yang lain yang anda sendiri tentukan :


Ansuran Bulanan:

  • Ansuran bulanan pinjaman perumahan (bagi yang membeli melalui pinjama perumahan) 
  • Caj perkhidmatan dan 'sinking fund' (bagi yang bercadang membeli kondominium atau pangsapuri)
  • Bil air, bil elektrik, dan lain-lain.
  • Bayaran tempat letak kereta (bagi yang menyewa tempat letak kereta)

Dua kali setahun dan tahunan:


  • Cukai pintu (dua kali setahun)
  • Cukai tanah ( tahunan )
  • Insuran Kebakaran (tahunan)
  • Kos penyelenggaraan di dalam rumah (tentukan sejumlah wang untuk membaiki sebarang kerosakan di dalam rumah)

Setelah anda menganggarkan kedudukan kewangan anda, anda akan mengetahui anggaran harga rumah yang mampu anda miliki. 


Apa yang penting anda mestilah berpijak di bumi yang nyata. Tidak salah berimpian. Ada segelintir pembeli yang menyatakan "alang-alang membeli" mereka terus dengan keputusan untuk membeli rumah yang bersaiz besar dengan harga yang lebih mahal. Terdapat ramai pembeli yang pinjaman perumahan mereka yang tidak diluluskan oleh kerana tanggungan mereka yang tinggi.


Anda sekarang telah menganggarkan harga rumah yang mampu anda miliki. Oleh itu anda memerlukan sejumlah wang deposit dan kos guaman serta stem duti untuk anda meneruskan niat untuk memiliki rumah.

Pastikan anda ambil kira kos ini:

  • 10%  dari harga rumah (wang pendahuluan)
  • Yuran guaman (untuk Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Perumahan)
  • Stem Duti

Contoh Pengiraan :

Pendapatan    : RM6,000.00

Perbelanjaan  :    

  1. Ansuran                            RM1,500.00       
  2. Caj perkhidmatan             RM   150.00
  3. Sinking Fund                    RM     15.00
  4. Bil Air, Elektrik                RM   200.00
  5. Sewa tempat letak kereta  RM     80.00
  6. Cukai Pintu                       RM      30.00  (Anggaran RM360.00 setahun)
  7. Insurans                             RM     12.50  (Anggaran RM150.00 setahun)
  8. Cukai Tanah                      RM       5.00  (Anggaran RM60.00 setahun)
  9. Tabung Kos baikpulih       RM     20.00
Jumlah                                         RM2,512.50

Ditambah dengan kos lain:

  1. Ansuran kereta                  RM   800.00
  2. Sara diri & keluarga          RM1,500.00
  3. Lain-lain                            RM   800.00
Jumlah perbelanjaan                   RM5,612.50


Kesimpulan

Kos bulanan untuk  sebuah rumah antara RM2,500.00 hingga RM3,000.00. Anda boleh menyemak dengan ansuran bulanan antara RM1,500.00 hingga RM2,000.00, berapa jumlah pinjaman perumahan yang layak anda perolehi. Oleh itu anda akan ketahui harga rumah yang mampu anda miliki.

Anda mungkin boleh membeli rumah dengan harga antara RM385,000.00 hingga RM430,000.00. Ansuran bulanan antara RM1700 hingga RM2000 dengan tempoh pinjaman selama 30 tahun dengan kadar faedah antara 4-5%.


Pengiraan di atas adalah untuk anda yang telah menyediakan wang deposit antara RM38K - RM43K dan yuran guaman dan stem duti dalam anggaran RM5K - RM6K.




Sunday, June 21, 2015

MENDEKATI SUNNAH

Teks : Norafidah Binti Ahmad
Foto  : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 6


Amat kerdil terasa diri ini. Hanya berdepan dengan seekor kuda. 


Dengan hanya penerangan ringkas tidak sampai 15 minit oleh pemilik Rubinga Heritage tentang kuda ia sangat mengujakan. Berkuda itu sunnah. Ia telah diketahui sejak sekian lama. Tetapi kenapa tidak diselidiki, diselami, dihayati dan diamali? Begitulah adanya. Semoga Allah mengampuni hamba yang lemah ini. Gagal menghayati sepenuhnya sunnah dalam kehidupan.


Persepsi orang biasa-biasa berkuda adalah untuk golongan elit. Berkuda memerlukan kos yang tinggi. Bagi golongan biasa-biasa, untuk memenuhi keperluan asas hidup jelas payahnya usahkan untuk menanggung kos menghadiri kelas-kelas berkuda.  Terdapat banyak pusat rekreasi berkuda yang menyediakan kelas-kelas bagi yang berminat untuk berjinak-jinak dengan  haiwan istimewa ini. Bagi yang hendak berjinak-jinak, carilah pusat rekreasi yang dapat menghubungkan kan anda, kuda dan pencipta anda dan kuda. 


Selami dan hayati falsafah berkuda. Sangat menarik. Ia bukan mudah. Ia merupakan nikmat Allah swt yang tidak dapat lagi dinafikan. Berkuda dapat melatih diri dalam berbagai aspek kehidupan, Apa yang lebih menarik dunia keibubapaan sangat berkait rapat dengan hanya menyelami falsafah  dan hikmah berkuda. 


Bagaimana berkuda dapat memupuk rasa saling percaya, saling sayang meyayang, saling hormat-menghormati dan saling memahami antara kuda dan penunggang kuda. Bagaimana berkuda juga boleh menjadikan penunggangnya sebagai seorang pemimpin yang baik, memupuk  sifat sabar, teliti, istiqamah, fokus, berinteraksi, berkomunikasi dan dapat menyeimbangkan seluruh kehidupannya. 

Kuda merupakan haiwan yang bijak dan ia dapat merasai emosi penunggangnya. Dekatilah dan hayati sunnah bagi yang mampu. Pasti ada bezanya.  


  








Friday, June 19, 2015

AMBIL TAHU

Teks : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 5


Ada kalanya pembeli rumah tidak mengambil tahu atau peduli tentang perkara-perkara yang sepatutnya mereka ambil tahu atau peduli. Sikap ambil tahu sangat penting sebelum keputusan membeli sesebuah rumah dibuat. Banyak perkara yang tidak diberi tahu oleh agen hartanah atau pihak pemaju yang mungkin akan mengubah keputusan anda yang sedang merancang untuk membeli. 


Berbanding pembeli-pembeli rumah di awal tahun 90-an dan sekarang yang lebih bijak dan sudah tentu ia kesan kemudahan mendapatkan informasi-inofrmasi di laman-laman sesawang. Akan tetapi ada juga pembeli yang tidak peduli akan perkara-perkara penting yang akan menjejaskan kepentingan dan hak-hak pembeli. Masih kedengaran di media-media elektronik dan di dada-dada akhbar pembeli -pembeli yang membuat aduan mereka teraniaya dan tertipu katanya.


Cuba anda ambil tahu perkara-perkara ini:-

  • Latar belakang syarikat pemaju dan syarikat yang menguruskan projek tersebut
  • Semak Lesen Pemaju- pastikan ia masih berkuatkuasa
  • Semak juga Permit Iklan dan Jualan dan pastikan juga ia masih dalam tempoh yang sah
     
      Status tanah :
  • Sama ada tanah itu pegangan bebas atau pajakan, sekiranya pajakan, sila semak baki tahun pajakannya.
  • Atau tanah Rezab Melayu dan
  • Bebanan tanah, sama ada tanah dicagarkan kepada pihak bank



Status tanah boleh disemak di pejabat tanah negeri.Status tanah di atas sangat penting untuk dipertimbangkan kerana status ini yang akan menentukan tempoh pengeluaran hakmilik tetap atau berasingan nanti. Syarat-syarat atau instrumen pemilikan tanah pegangan bebas agak mudah berbanding yang lain. 


Pastikan anda berurusan dengan agen yang diberi kuasa atau wakil pemaju yang diberi kuasa untuk mengelak anda mendapat informasi yang salah dan tertipu.


Cuba ambil tahu dan bertanya dengan terpeinci tentang lokasi dan nama projek perumahan tersebut dan pastikan anda betul-betul tahu lokasi nya apabila diberitahu. 


Ambil tahu ini

Tarikh siap, harga jual, jumlah unit yang dibina, jenis rumah, pihak berkuasa tempatan yang meluluskan pelan bangunan dan nombor rujrukan pelan.

Cuba buat semakan perkara -perkara di atas dengan lebih terperinci sebelum anda membuat keputusan.



Thursday, June 18, 2015

RAMADHAN

Teks : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 4


Alhamdulillah, Allah swt telah mengurniakan pertemuan dengan Ramadhan 1436. Untuk mereka dan diri ini yang masih bertemu dengan Ramadhan berusaha lah untuk berbuat yang terbaik. Jangan malu untuk meminta pertolongan Allah swt untuk memberi kita kekuatan untuk berbuat yang terbaik. Kerana kita menyaksikan banyak pertemuan hamba-hamba dengan pencipta-Nya sepanjang tahun. Mereka sudah tidak bertemu lagi dengan Ramadhan. Ramadhan 1435 merupakan Ramandhan terakhir mereka. 


Nikmat yang tidak dapat dinafikan lagi bagi mereka yang mengetahui, yang memahami, yang menghayati dan yang mengamali. Hari ini hari kedua, berazam untuk menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari semalam.


Mengenang kembali Ramadhan terakhir bersama emak. Ramadhan 1427 merupakan Ramadhan terakhir emak. Tidak seperti Ramadhan yang dilalui pada tahun-tahun sebelumnya, kali ini emak tidak sihat. Setelah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di usus nya, emak dimasukkan ke ICU. Emak ketika itu membuat rawatan di Hospital Taiping. Emak terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana tekanan darah nya yang rendah. Hanya Allah sahaja tempat mengadu. 


Adakala bersahur dan berbuka dihospital. Berulang alik dari Kuala Lumpur di hujung minggu untuk bersama emak. Masih terbayang lambaian tangan emak dan emak mengisyaratkan untuk beredar meninggalkannya agar tidak ketinggalan bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ketika itu emak tidak boleh bercakap disebabkan terdapat salur alat bantuan pernafasan dimulutnya.  


Dua bulan di ICU. Doktor memberitahu supaya emak dibawa pulang. Emak ketika itu sedar tetapi tidak memberi sebarang tindak balas. Makanan emak hanya susu yang dimasukkan melalui tiub. Allah menguji. Kami redha. Hanya doa yang dipanjat semoga Allah swt juga meredhai kami. 


Bagi emak, Ramadhan terakhirnya dilalui dengan ujian Allah swt. Pada ketika itu tidak dapat dipastikan emak mengetahui dia sedang berada di bulan Ramadhan atau tidak. Komunikasi hanya satu hala. 


Ramadhan 1427 merupakan Ramadhan yang penuh emosi dan air mata. 








Wednesday, June 17, 2015

MEMILIKI RUMAH KEDIAMAN

#Entri 3


Teks : Norafidah Binti Ahmad


Memiliki rumah kediaman sendiri yang selesa, aman atau mewah seperti yang selalu diungkapkan "Rumahku Syurgaku"merupakan impian setiap orang. Semua orang mengimpikan rumah yang besar, lengkap dengan peralatan mewah, moden dan rekabentuk terkini. Berbagai alasan, pelan tindakan, strategi, perancangan kewangan dan lain-lain tindakan dibuat hanya untuk memenuhi impian tersebut.


Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam merancang untuk memiliki rumah  sama ada untuk pelaburan atau kediaman. Antaranya :


  • Bajet
  • Lokasi
  • Kemudahan Awam
  • Persekitaran
  • Keadaan dalaman rumah 
  • Penyelenggaraan
  • Tempat letak kereta
  • Potensi kawasan sekitar
  • Status milikan tanah

Keselesaan, kedamaian, ketenangan atau kenewahan sangat relatif dari seorang individu ke seorang individu yang lain. Tidak semestinya mempunyai segala kemewahan dan keselesaan akan ada ketenangan dan tidak pula tempat kediaman yang serba kekurangan itu tidak mengundang ketenangan atau kedamaian di hati penghuninya.


Oleh yang demikian, semua faktor di atas akan ada 'give and take' nya. Yang pasti tidak akan ada 'sempurna' di 'syurga' dunia ini.


Panduan ini hanya dari pandang sisi orang biasa-biasa, bukan dari pakar pelabur hartanah atau agen hartanah yang sudah pasti akan bercerita tentang keuntungan pelaburan atau peratus komisyen yang akan diperolehi.


Semoga dengan bermulanya perkongsian yang tidak seberapa ini akan Allah kurnia kan ilham seterusnya untuk memberi lebih banyak panduan dan perkongsian yang diharap kan juga akan ada manfaatnya.




Monday, June 15, 2015

TANGGUNGJAWAB

#Entri 2

Teks : Norafidah Binti Ahmad


Perjalanan kehidupan diteruskan lagi, dengan nikmat helaan nafas kurniaan Ilahi, nikmat yang juga tidak dapat dinafikan lagi. Masih bergelut dengan kehendak nafsu dan kehendak iman, ia bukan mudah bagi insan yang berdosa dan lemah. Doa yang dipanjatkan : "Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menjadi hamba Mu yang terbaik"


Hari ini menghadiri Taklimat Tanggungjawab Pemaju Perumahan Berlesen Berdasarkan Akta Pemajuan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan-Peraturan Serta Pindaan 2011.


Ia merupakan satu agenda kerjasama yang berterusan oleh Jabatan Perumahan Negara dan REHDA bagi memberi penerangan dan garis panduan kepada pihak pemaju berkenaan Akta Pemajuan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan-Peraturan Serta Pindaan 2011 juga berkaitan lesen pemajuan perumahan. Taklimat yang diberikan adalah selaras dengan perkembangan semasa sektor perumahan negara masa kini.


Tanggungjawab para pemaju tidak kira dari sekecil-kecil pembangunan sehingga bersaiz ratusan ekar tanah yang dibangunkan hanyalah mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang sedia ada untuk memastikan ianya berjalan lancar disamping menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat. Ia bukan perkara mudah. Terdapat sebilangan pemaju yang memilih tidak mengikut peraturan-peraturan yang dikenakan dan memilih untuk memberi rasuah dan sebagainya demi untuk mengaut keuntungan yang besar.


Pihak berkuasa, penguatkuasa dan Pesatuan Pemaju Hartanah pula memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan segala peraturan yang dikenakan akan dipatuhi. Taklimat demi taklimat diberi, seminar demi seminar juga diadakan untuk menjelaskan segala peraturan yang perlu dipatuhi dan semoga ada yang tidak menerima rasuah yang diberi.


Ini hanya sebahagian dari rentetan kehidupan untuk hari ini, disamping ia memenuhi tanggungjawab sebagai orang makan gaji.


Coretan harian akan bersambung sekiranya Allah swt mengizinkan untuk kehidupan ini bersambung. Semoga apa yang dikongsi akan ada manfaatnya.

CORETAN PERKENALAN

#Entri 1

Teks : Norafidah Binti Ahmad
    


       Kehidupan yang bermula di awal tahun 70-an bersama keluarga tercinta amat nostalgik sekali. Keluarga yang kecil dan kehidupan yang amat sederhana ketika itu tidak menjanji kan apa-apa kemewahan dan tidak juga di uji dengan keperitan yang amat sangat untuk kami lalui. Dengan hanya dikelilingi oleh dua orang kakak yang menjadi sebahagian dari hidup ini tidak banyak corak dan rencah yang dapat dilihat dan dirasa berbanding mereka yang melalui kehidupan yang terdiri dari ramai adik, kakak dan abang. 


    Kehidupan yang biasa-biasa tetapi penuh dengan nikmat yang Allah berikan. Zaman kanak-kanak yang dilalui di sebuah Estet yang tidak mungkin akan dilalui oleh kanak-kanak di alaf baru ini memberikan suatu pengalaman kehidupan yang amat berbeza dan sangat indah sebenarnya.


     Memulakan alam persekolahan rendah di pertengahan tahun 70-an dengan tiada pra-sekolah atau tadika yang dihadiri ketika itu juga menjadikan alam sekolah rendah begitu berwarna-warni dengan pelbagai kerenah kanak-kanak di zaman itu. Ketika itulah jari-jemari ini dipegang bersama sebatang pensil oleh guru untuk membentuk tulisan-tulisan asas sebelum membentuk huruf-huruf. Di sini juga lah bermulanya pendidkan formal yang telah membawa diri ini ke peringkat yang seterusnya.


     Kehidupan remaja di awal tahun 80-an juga jauh bezanya berbanding remaja di alaf baru. Memilih untuk menerima tawaran bersekolah di sekolah berasrama penuh, menambah lagi warna hidup ini. Kehidupan yang jauh lebih aman berbanding dengan kehidupan remaja kini yang hidup di dunia tanpa sempadan yang penuh onak dan duri sekiranya tidak dipimpin ke jalan yang benar.


     Bergelar mahasiswi di sebuah universiti di awal tahun 90-an menjadi kebanggaan oleh setiap emak dan ayah. Mahasiswi ketika itu juga tidak banyak cabarannya berbanding mahasiswi di alaf ini. Dengan kos pengajian ketika itu tidak melebihi 20 ribu ringgit berbanding kos pengajian alaf ini mencecah ratusan ribu ringgit.  


      Memulakan kerjaya di pertengahan tahun 90-an dengan keazaman yang tinggi untuk membalas jasa dan jerih payah kedua emak dan ayah membanting tulang di estet seterusnya menjanjikan mereka kehidupan yang lebih selesa.   Memulakan kerjaya yang biasa-biasa sahaja namun menimba pengalaman kehidupan yang tiada harga dengan pelbagai cabaran yang harus ditempuhi.


     Menamatkan zaman bujang di awal tahun 2000 dengan redha setelah pelbagai rentetan episod dilalui dengan izin Allah swt jua. Dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang kini berada di alam persekolahan rendah. Masih meneruskan kerjaya yang tidak seberapa namun itulah nikmat Allah swt yang tidak tersyukuri dan tidak terhingga nilainya sehingga dijemput-Nya kembali.



      Demikian sebahagian dari rentetan kehidupan Norafidah Binti Ahmad, salam ukhwah fillah semoga segalanya mendapat redha Allah swt.