Thursday, June 18, 2015

RAMADHAN

Teks : Norafidah Binti Ahmad

#Entri 4


Alhamdulillah, Allah swt telah mengurniakan pertemuan dengan Ramadhan 1436. Untuk mereka dan diri ini yang masih bertemu dengan Ramadhan berusaha lah untuk berbuat yang terbaik. Jangan malu untuk meminta pertolongan Allah swt untuk memberi kita kekuatan untuk berbuat yang terbaik. Kerana kita menyaksikan banyak pertemuan hamba-hamba dengan pencipta-Nya sepanjang tahun. Mereka sudah tidak bertemu lagi dengan Ramadhan. Ramadhan 1435 merupakan Ramandhan terakhir mereka. 


Nikmat yang tidak dapat dinafikan lagi bagi mereka yang mengetahui, yang memahami, yang menghayati dan yang mengamali. Hari ini hari kedua, berazam untuk menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari semalam.


Mengenang kembali Ramadhan terakhir bersama emak. Ramadhan 1427 merupakan Ramadhan terakhir emak. Tidak seperti Ramadhan yang dilalui pada tahun-tahun sebelumnya, kali ini emak tidak sihat. Setelah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di usus nya, emak dimasukkan ke ICU. Emak ketika itu membuat rawatan di Hospital Taiping. Emak terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana tekanan darah nya yang rendah. Hanya Allah sahaja tempat mengadu. 


Adakala bersahur dan berbuka dihospital. Berulang alik dari Kuala Lumpur di hujung minggu untuk bersama emak. Masih terbayang lambaian tangan emak dan emak mengisyaratkan untuk beredar meninggalkannya agar tidak ketinggalan bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ketika itu emak tidak boleh bercakap disebabkan terdapat salur alat bantuan pernafasan dimulutnya.  


Dua bulan di ICU. Doktor memberitahu supaya emak dibawa pulang. Emak ketika itu sedar tetapi tidak memberi sebarang tindak balas. Makanan emak hanya susu yang dimasukkan melalui tiub. Allah menguji. Kami redha. Hanya doa yang dipanjat semoga Allah swt juga meredhai kami. 


Bagi emak, Ramadhan terakhirnya dilalui dengan ujian Allah swt. Pada ketika itu tidak dapat dipastikan emak mengetahui dia sedang berada di bulan Ramadhan atau tidak. Komunikasi hanya satu hala. 


Ramadhan 1427 merupakan Ramadhan yang penuh emosi dan air mata. 








No comments:

Post a Comment